Thursday, October 8, 2009

KARANGAN

Rencana : Menangani Gejala Merokok dalam Kalangan Remaja

Umum mengakui merokok merupakan tabiat tidak sihat yang membawa banyak keburukan bukan sahaja kepada perokok terbabit, bahkan orang sekitarnya. Begitupun masih banyak yang gagal membuang ketagihan merokok. Jumlah perokok di negara kita secara kasar ialah enam juta orang dengan lapan peratus daripadanya perokok wanita. Pelbagai pendekatan, khususnya kaedah perundangan dan pendidikan kesihatan yang menyasarkan para perokok, telah dijalankan sejak dua dekad yang lalu dengan harapan agar golongan ini meninggalkan tabiat mereka. Namun kadar merokok semakin meningkat dengan penglibatan wanita dan remaja pula. Hal ini aialah hasil daripada kejayaan taktik promosi oleh syarikat-syarikat tembakau untuk memperluas jaringan pasaran masing-masing demi keuntungan yang lumayan.

Kajian menunjukkan bahawa tujuan 75 peratus penyebab pelajar merokok semata-mata kerana ingin mengelakkan tekanan. Tekanan berpunca daripada bebanan tugasan sekolah, harapan tinggi ibu bapa ditambah dengan naluri perasaan remaja yang suka memberontak bagi menunjukkan bahawa mereka mampu berdikari dan membuat keputusan sendiri. Sehubungan dengan itu bagi mengelakkan remaja merokok, bebanan dan tekanan yang mereka hadapi perlu dileraikan terlebih dahulu melalui pendekatan psikologi dan kaunseling.

Bagi perpekstif "remaja tidak boleh merokok, tetapi orang dewasa boleh” seolah-olah senjata makan tuan. Alasan untuk mengelakkan remaja merokok inilah akhirnya menjadi sebab utama pelajar mencuba untuk merokok. Hal ini dilakukan bagi membuktikan bahawa mereka telah dewasa dan ingin dilayan seperti dewasa.

Komitmen dalam memerangi gejala ketagih merokok tidak pernah berakhir biarpun kempen antimerokok tidak menunjukkan kejayaan yang menbanggakan. Bagi mengukuhkan pengurangan tabiat merokok, kempen "Tak Nak" dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 9 Februari 2004 dengan perbelanjaan sebanyak RM100 juta bagi tempoh lima tahun akan berakhir tahun 2009 nanti. Kempen tersebut bertujuan untuk mendidik generasi akan datang mendidik generasi akan datang supaya bebas daripada dihinggapi tabiat buruk itu. Kempen yang berslogankan "Tak Nak! Setiap Sedutan Membawa Padah" itu menegaskan, tabiat benci merokok perlu disemai sejak di bangu sekolah lagi bagi membawa kesan terhadap kanak-kanak dan seterusnya belia, serta golongan dewasa.

Kerajaan juga mengambil beberapa langkah lain untuk membendung tabiat merokok termasuk menaikkan tarif produk tembakau. Peningkatan percukaian dan penetapan harga minimum rokok dapat mengurangkan permintaan terhadap perokok baharu. Kenaikan itu membawa banyak kesan khususnya kepada kumpulan berpendapatan rendah sekalu gus memaksa mereka berhenti merokok.

Peraturan larangan penjualan paket kecil 14 batang rokok dan kurang juga adalah langkah kawalan mengelak mereka yang baru berjinak-jinak dengan rokok. Namun, bagi perokok yang sudah ada di peringkat ketagih dipercayai tidak berganjak daripada amalan yang sia-sia itu biarpun harga rokok dinaikkan. Malah mereka juga rela membelanjakan sebahagian besar pendapatan untuk membeli rokok. Kata-kata, ’biar putus cinta jangan putus rokok’ membuktikan perokok sanggup berdepan dengan segala masalah asalkan tabiat merokok dapat diteruskan.

Selain itu,Kementerian Kesihatan juga mula menggunakan pendekatan drastik seperti meletakkan gambar organ-organ dalaman yang rosak akibat gejala merokok pada semua kotak rokok. Penggunaan gambar-gambar sedemikian sebagai peringkatan akan dilaksanakan sebaik-baik sahaja Akta ProdukTembakau yang sedang digubal oleh kementerian itu diluluskan.

Selain penggunaan gambar berkenaan, kementerian juga akan mewajibkan semua pengeluar dan pengedar rokok mendaftar dan memohon satu lesen khas sebelum menghasilkan atau menjual produk tembakau masing-masing. Melalui akta itu, kementerian juga akan mengawal harga minimum rokok bagai mengelakkan perang harga dalam kalangan pengeluar yang kini dikesan semakin rancak.

Cadangan-cadangan bagi membanteras gejala merokok ini sebenarnya perlu digerakkan secara kolektif khususnya melibatkan pihak pengurusan sekolah, ibu bapa, rakan sebaya, badan-badan bukan kerajaan (NGO), dan jabatan kesihatan. Antaranya termasuk mengenal pasti lokasi dan golongan sasaran seperti di tandas yang selalunya menjadi tempat pelajar melepas gian merokok. Oleh itu, pihak guru, pengawas sekolah, seharusnya giat menjalankan pemeriksaan secara berkala ke lokasi bagi mencegah pelajar daripada merokok.

Sebagai intiha, merokok merupakan satu gaya hidup yang memudaratkan. Semua orang tahu bahawa perbuatan merokok adalah satu perbuatan yang merugikan bukan sahaja dari segi kewangan, malahan lebih penting kepada kesihatan. Menyedarkan perokok tentang bahaya tabiat merokok perlu datang daripada diri individu itu sendiri. Hal ini kerana, tarikan ketagihan akibat merokok lebih besar pengaruhnya berbanding tanggungjawab memelihara kesihatan. Pihak kerajaan juga telah membelanjakan berbilion ringgit untuk mengubati pesakit yang berpunca daripada merokok. Tetapi, hal ini tidak bermakna pihak yang bertanggungjawab ’menyerah kalah’ kepada mereka yang agak liat untuk meninggalkan tabiat yang tidak memberi sebarang manfaat kepada kesihatan.

No comments:

Post a Comment